Terkini

Sejarah Ringkas Persekutuan Kebajikan Anak-Anak
Yatim Islam Pulau Pinang

Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang, telah diwujudkan semasa pemerintah Jepun, pada tahun 1942. Pada ketika itu, pentadbiran dan pengurusan terhadap anak-anak yatim tidak teratur dengan sempurna. Keadaan ini telah berterusan sehinggalah pada tahun 1955. Bermula dari tahun 1955, Persekutuan ini telah didaftarkan dengan rasminya di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan dan mempunyai bangunan sendiri (kini dikenali sebagai Wisma Yatim Lelaki) yang dibina di atas sebidang tanah wakaf, di Ayer Itam, Pulau  Pinang. 

            Persekutuan ini dikendalikan oleh sebuah badan yang dinamakan Ahli Jawatankuasa Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Puiau Pinang. Ahli Jawatankuasa ini adalah bertanggungjawab secara langsung untuk menerima dan memelihara anak-anak yatim lelaki, yang mana mereka bukan sahaja anak-anak yatim dari Negeri Pulau Pinang, malahan terdapat ramai antaranya dari Negeri Kedah, Perak dan lain-lain negeri yang diterima menjadi penghuni di Wisma Yatim ini. Ahli Jawatankuasa ini juga adalah bertanggungjawab dan berusaha bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai pengurusan di Wisma Yatim ini.

          Dengan insiatif Ahli Jawatankuasa Persekutuan di bawah pimpinan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd. Yussof Latiff, pada tahun 1985, sebuah bangunan yang dinamakan Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang telah dapat diwujudkan pula, di atas sebidang tanah yang dipajakkan oleh Kerajaan  Negeri kepada Persekutuan ini, di Jalan Scotland, Pulau Pinang.  Pembinaan bangunan Wisma Yatim Lelaki telah dilaksanakan dalam tahun 1955. Pembesaran dan pengubahsuaian ke atas bangunan tersebut telah dilakukan bagi membolehkan Persekutuan ini meningkatkan pengambilan anak-anak yatim lelaki yang didapati semakin ramai yang memohon untuk menghuni di Wisma Yatim ini. Pembesaran dan pengubahsuai ini telah sempurna dilaksanakan dalam tahun 1989.